6 Cara Nak Kelihatan Yakin Ketika Berucap




Rasa cemas, gugup, gementar, berpeluh dan sebagainya apabila mahu bercakap di hadapan orang ramai?

Semua orang mengalaminya pada tahap yang berbeza walaupun semasa membuat penampilan kali pertama ataupun sudah berucap berkali-kali.

Mengikut kajian, hampir 75% orang dewasa berasa takut apabila ingin memberi ucapan dihadapan umum.

Rasa tertekan ini akan memberikan kesan yang tertentu kepada mental dan tubuh kita.
Namun, setiap daripada kita tidak boleh mengelak daripada bercakap di hadapan orang ramai baik untuk tuntutan akademik mahupun tuntutan kerja.

Semakin ramai orang yang anda berhadapan semakin yakin dan bangga seharusnya anda rasa.
Jika anda ingin mengatasi kelemahan anda semasa bercakap di hadapan orang dan dan membuatkan orang tertarik untuk mendengarkan apa yang anda perkatakan, anda boleh mencuba pelbagai cara untuk mencapainya.

Dengan usaha dan latihan yang berterusan, anda boleh menangkis rasa takut anda dan bercakap yakin di hadapan sesiapa pun.

Cuba praktiskan langkah-langkah dibawah.

1. Cuba Selitkan Unsur Jenaka.
Jika anda mahu berikan ucapan yang mampu menarik perhatian ramai, terutamanya apabila anda berdepan dengan audien tersebut buat pertama kalinya, ‘humor’ adalah jawapannya.

Jangan terlalu serius semasa berbicara kerana audien mungkin akan berasa sedikit tertekan untuk menghadam apa yang anda cuba sampaikan.

Dengan menyelitkan sedikit unsur jenaka, anda boleh mengubah suasana agar menjadi lebih santai dan selesa.

Tidak perlu membuat jenaka mengalahkan pelawak, cukup sahaja jenaka spontan yang boleh membuatkan mereka tersenyum.

Percayalah, anda akan akan berasa lebih baik sekiranya anda melihat audien tersenyum kearah anda.
Pada waktu yang sama, anda telah membuatkan audien berasa percaya kepada anda.

Senyuman dan hilaian ketawa daripada mereka akan menambahkan minat mereka untuk mengetahui lebih lanjut mengenai anda dan apa yang anda ingin sampaikan.

2. Fokus Kepada Yang Menganggukkan Kepala.
Ini adalah satu teknik untuk meningkatkan rasa yakin ketika bercakap.

Jika anda terlalu gementar untuk bercakap dengan yakin, perasaan anda, gaya persembahan anda akan bertambah teruk apabila anda melihat audien yang menunjukkan mereka bosan dengan ucapan anda.

Jangan terlalu ambil kisah pada mereka yang tidak berminat dengan ucapan anda sebaliknya fokus kepada beberapa audien yang memberi perhatian dan respon kepada anda semasa mendengar.

Mereka ini selalunya akan bersetuju dengan apa yang anda perkatakan. Beri fokus kepada kelompok ini untuk mengekalkan stamina dan momentum anda semasa bercakap.

Ini akan buatkan anda nampak sangat yakin ketika bercakap walaupun anda sebenarnya resah dan gementar.

3. Cuba Tonjolkan Ekspresi Emosi.
Apabila bercakap, cuba untuk tunjukkan emosi anda supaya tidak kelihatan terlalu formal dan kaku di hadapan audien.

Jika anda tidak pasti bagaimana untuk menonjolkan ekspresi dan emosi anda dengan baik, rakam video anda sendiri dan lakukan penambahbaikan daripada situ.

Sentiasa ingatkan diri sendiri untuk bertenang. Bagaimana audien mahu ketawa mendengar jenaka anda jika anda menunjukkan riak wajah yang serius?

Rasa gemuruh dan gugup bukanlah satu perkara yang senang untuk dikawal,  akan tetapi dengan latihan yang berterusan anda boleh menyembunyikannya dengan baik.

4. Latihan Berterusan Untuk Membiasakan Diri.
Tidak semua orang ada bakat untuk bercakap dengan baik. Bercakap dengan baik belum tentu lagi menjamin anda menjadi seorang ‘speaker’ yang digemari oleh orang ramai.

Banyak faktor yang menjadikan seseorang itu berjaya menarik perhatian dan membuatkan audien suka kepadanya.

Walaupun anda tidak berbakat, anda boleh mahirkan diri dengan baik dengan berlatih untuk bercakap di hadapan orang lain.

Semakin banyak anda berlatih, semakin banyak anda boleh kenali diri anda, kelemahan anda dan mengetahui cara untuk meningkatkan kemahiran bercakap anda dengan baik.

5. Bersedia Untuk Lakukan Banyak Kesilapan.
Kesempurnaan tidak akan terjadi dalam sekelip mata. Tidak kiralah walaupun anda bercakap sebagai seorang speaker ‘amatur’ atau ‘profesional’, anda tidak akan lari daripada melakukan kesilapan.

Ini adalah perkara normal dan anda wajib membuat banyak kesilapan yang memalukan.

Jika anda membuat kesilapan di hadapan orang ramai ketika bercakap, sama ada mohon maaf ataupun teruskan sahaja dengan selesa.

Jika anda menunjukkan diri anda tidak selesa selepas membuat kesilapan,audien juga akan dapat merasakan perkara yang sama.

Belajar untuk tidak terlalu fikirkan kesilapan yang telah berlaku dan teruskan sahaja dengan cara yang santai.

Lama-kelamaan audien juga akan lupa kesilapan yang telah berlaku. Muhasabah diri selepas selesai bercakap dan elakkan buat kesilapan yang sama pada masa akan datang.

6. Ambil Inspirasi Daripada ‘Speaker’ Terkenal.
 Setiap ilmu perlukan mentor yang menguasai satu-satu bidang tersebut.

Jika anda tidak berkesempatan untuk menghadiri kelas-kelas untuk kemahiran komunikasi, anda boleh melihat video speaker-speaker terkenal di internet.

Sentiasa ikuti perkembangan mereka dan jadikan diri mereka, cara mereka, personaliti mereka sebagai inspirasi diri dan sumber keyakinan anda.

Letakkan matlamat untuk lebih pandai bercakap daripada mereka atau sekurang-kurangnya mencapai tahap yang sama seperti mereka.

Comments

Popular posts from this blog

7 Cara Berkesan Menangi Hati Customer