4 Punca Bisnes Anda Tidak Menjadikan Anda Kaya




Berniaga memang memerlukan perancangan yang rapi. Ketahanan fizikal dan mental. Modal yang cukup dan bijak menguruskan kos yang terlibat. Kalau semua yang saya cakap ini bersifat negetif dalam perniagaan anda, anda harus fikirkan balik dan melakukan transformasi besar-besaran.

Ramai nak berniaga sebab nak kaya. Kedengaran seperti nak kejar wang semata tetapi hakikatnya memang ini adalah antara sebab ramai orang buat bisnes. Tanyalah sesiapa sahaja, rata-rata pun nak jadi kaya. Sememangnya bidang perniagaan adalah bidang yang menjanjikan kekayaan jika diusahakan dengan betul. 

Hadis ada menyebut bahawa perniagaan adalah bidang yang menjanjikan 9/10 kekayaan di dunia. Buat para usahawan di luar sana, pernah tak tertanya-tanya, kenapa sudah lama berniaga tapi masih belum kaya? Mungkin disebabkan perkara berikut.

1. Bisnes Selalu Gagal

Bukan senang nak buat bisnes. Nak cari idea bisnes yang bagus, autentik, lain daripada yang lain. Banyak faktor kena kita fikirkan seperti persekitaran, psikologi manusia, peluang pasaran dan lain-lain. Sebab itulah mengikut kajian, hampir 90% perniagaan baru akan lingkup. Ini kerana tidak cukup persediaan dan juga kurangnya kesabaran.

Idea boleh muncul dalam fikiran setiap orang. Tetapi sejauh mana idea kita itu bagus untuk pelanggan? Idea bisnes hanyalah langkah pertama. Langkah yang seterusnya adalah sukar.

Anda kena pastikan idea tersebut bertukar menjadi pelan, anda kena gerakkan perancangan idea anda dengan bernas dan mampu untuk menukar dan mengubahnya mengikut situasi. Kadang-kadang walaupun idea sudah menarik, usaha sudah habis baik, tapi mungkin juga bertemu kegagalan. Ini adalah statistik yang sudah diramal.

Jadi kena siap siaga untuk gagal kalau dah pilih nak jadi usahawan. Nama pun usahawan, kena usaha lagi dan lagi. Kalau kita tak sanggup menentang arus, ini adalah sebab kenapa bisnes anda masih di takuk yang lama ataupun hampir gulung tikar.

2. Terpengaruh Dengan Fantasi

Ada perbezaan besar antara fantasi dan realiti. Bila kita tengok atau dengar kisah-kisah inspirasi tokoh-tokoh usahawan yang berjaya, kita terlalu kagum dengan kejayaan yang terpapar. Kita lupa nak menteladani kepayahan mereka, jerih perih mereka di sebalik tadbir sampai tahap berjaya. Kita inginkan keputusan yang cepat dengan hasil yang singkat.

Media selalunya akan menfokuskan pada perkara yang indah dan hebat daripada yang buruk dan susah. Realitinya, nak bina bisnes yang kukuh ambil masa bertahun lamanya, nak capai tahap jutawan apatah lagi. Selagi anda tidak hadam ini hal ini dengan baik, maka sukarlah untuk berjaya dalam bisnes, nak jadi kaya-raya apatah lagi.

3. Ambil Mudah Kos Belanja

Ramai usahawan apabila mula berniaga rambang mata bila dah mula nampak duit. Jangan fikir keuntungan yang masuk sahaja. Perlu diingat, apabila buat bisnes, banyak kos yang tidak dijangka akan berlaku. Semua yang berlaku dalam bisnes kita kena tanggung, yang disebalik tabir, yang di depan pelanggan, kecurian, bencana alam dan sebagainya.

Mungkin kita dah ambil kira kos bahan mentah, kos pekerja, kos sewa, kos peralatan tapi mungkin kita terlepas pandang kos lain seperti cukai, insuran, perundangan. Kadang-kadang kita campur- adukkan kos peribadi dengan kos bisnes.

Berdasarkan pemerhatian saya, usahawan kaum Cina kalau berbelanja di restoran atau premis mereka sendiri, mereka akan bayar seperti pelanggan lain. Tetapi kalau usahawan Melayu, kalau makan di kedai sendiri atau bawa ahli keluarga dan kawan-kawan sekali, semuanya adalah percuma. Perniagaan kita yang terpaksa menanggung kos peribadi kita.

Itu adalah silap besar. Dalam bisnes, sekecil-kecil kos juga harus dikira, seperti penggunaan plastik, tisu dan sebagainya. Pengasas Faiza Beras Basmathi sendiri juga mengamalkan perkara yang sama. Anak dan cucu beliau termasuk dirinya sendiri, kalau hendak makan di restoran milik mereka harus membayarnya walaupun nilainya hanyalah puluhan sen.

Bukanlah namanya berkira, tetapi ini adalah cara betul untuk berniaga secara profesional. Kalau akaun bank kita, akaun perniagaan pun masih bercampur dengan akaun peribadi, bagaimana nak kaya suatu hari nanti? Kejap-kejap duit masuk, sekejap sahaja hilangnya.

4. Tiada Penasihat Kewangan

Mungkin bisnes kita dah maju, dah jadi viral, ada ramai followers. Kita rasa dah stabil tapi sebenarnya kita silap. Kita mungkin berduit tetapi kita masih belum jadi kaya. Kenapa? Sebab kita hanya simpan duit dan duit tidak akan bertambah dengan sendirinya kalau kita tidak berusaha untuk gandakannya.

Kalau nak duit ribuan jadi jutaan, kita kena ada penasihat kewangan. Jangan urus tadbir wang sendiri ikut kata hati dan kata orang. Sesetengah orang gandakan wang dengan beli hartanah, beli emas dan sebagainya. Adakah itu cara terbaik? Jawapannya ada pada pakar kewangan.

Kalau anda masih belum di tahap mampu untuk mengupah pakar penasihat kewangan anda sendiri, maka rajin-rajinlah membaca buku pengurusan kewangan, tonton video pakar kewangan dan hadiri seminar-seminar kewangan. 

Ilmu dan pengalaman yang ada pada kita kalau tidak mengalir ibarat air di longkang yang tersekat, membusuk dan merbahaya tetapi kalau terus mengalir akan kembali kelaut dan kitarannya memberi manfaat bukan sahaja kepada kita malahan orang lain.

Comments

Popular posts from this blog

7 Cara Berkesan Menangi Hati Customer

8 Tips Pilih Barang Hantaran Perkahwinan